fbpx
TIGA pemuda dikecam ramai kerana memberi sisa tulang ayam berserta nasi kepada seorang gelandangan sehingga tular di media sosial.

‘Perbuatan itu tidak boleh diterima akal’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PELBAGAI cara dilakukan untuk meraih perhatian dan mengejar ‘view’ serta pengikut di media sosial termasuklah menghasilkan kandungan-kandungan sampah.

Demi konten, ada yang tanpa segan silu melakukan aksi tidak senonoh, malah sanggup menghina sesama manusia.

Konten-konten sebegini ditonton oleh anak-anak yang masih mentah dan secara tidak langsung mempengaruhi personaliti dan cara mereka berfikir. Kita tidak perlu pun melakukan konten sampah untuk menjadi terkenal.

Lihat sahaja pempengaruh tersohor seperti Khairul Aming, tidak perlu membuat konten-konten sampah untuk dikenali. Itu pentingnya pendidikan dan ilmu yang membezakan pempengaruh berkualiti.

Kehadiran pempengaruh seperti Khairul Aming memberi sumbangan besar kepada masyarakat dan negara. Individu sepertinya juga memberi pengaruh positif kepada anak muda.

Baru-baru ini, tiga pemuda dikecam ramai kerana memberi sisa tulang ayam berserta nasi kepada seorang gelandangan sehingga tular di media sosial.

Menerusi perkongsian video berdurasi kurang satu minit itu memaparkan tiga pemuda tersebut berkunjung ke restoran makanan segera dan mereka membeli ayam serta makan di situ.

Kemudian, mereka menyatakan mahu membuat kerja kebajikan dan seorang daripada pemuda itu memberitahu, tulang ayam berkenaan tidak boleh dibuang. Mereka mengumpulkan tulang-tulang ayam tersebut dan meletakkannya di dalam nasi kononnya bagi mengelakkan pembaziran.

Pemuda itu memberitahu, tulang berkenaan boleh diberikan kepada mereka yang memerlukan.

Selepas keluar dari restoran makanan segera, mereka dilihat memberikan nasi yang dibungkus bersama tulang-tulang ayam kepada gelandangan selain anjing jalanan.

Bagaimanapun, selepas menerima kecaman, salah seorang daripada pemuda itu telah memuat naik video di Instagram mengatakan mereka membuat kandungan tersebut dengan persetujuan gelandangan itu.

“Semua orang sangka kami bagi tulang ayam kepadanya. Kami tanya dia boleh tak berlakon sama-sama untuk rakam video.

“Kami telah beri dia makanan sempurna (set ayam goreng beserta nasi). Saya mohon maaf kepada semua,” katanya.

Sementara itu, Ketua aktivis Pertubuhan Jejak Jalanan, Mohd. Azhan Mohd. Adnan atau lebih dikenali sebagai Abe Hae menyifatkan perbuatan tersebut sebagai melampau dan biadab walaupun sekadar konten.

“Katalah dia buat konten sekalipun, perbuatan itu tak boleh diterima akal. Dalam video itu kita lihat selepas beri makan gelandangan, mereka beri makan anjing pula, seolah-olah gelandang disamakan dengan anjing.

“Kami sebagai sukarelawan sangat menyantuni dan menghormati para gelandangan. Bahkan ketika mereka tidur, kita kejutkan mereka dengan lembut untuk bangun menerima makanan,” katanya ketika ditemu bual oleh stesen radio tempatan baru-baru ini.

Katanya, masyarakat perlu hormat dan sayang gelandangan sama seperti menyayangi saudara mara, ahli keluarga dan kawan-kawan.

Sehubungan itu, beliau berharap tiada lagi individu yang mengulangi perbuatan serupa walaupun ia sekadar konten.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN