BATU PAHAT -Pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Pakistan bertempiaran melarikan diri selepas menyedari pusat perniagaan di Ayer Hitam di sini diserbu pihak penguat kuasa Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) petang semalam.
Bagaimanapun usaha segelintir pendatang asing itu hanya sia-sia apabila semua kawasan terbabit telah dikepung pegawai dan anggota JIM bersama kakitangan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menyebabkan mereka terpaksa menyerah diri dan berjaya ditahan.
Pengarah JIM Negeri Johor, Datuk Mohd. Rosdi Mohd. Darus berkata, seramai 32 warga asing telah ditahan melalui operasi Ops Belanja, Ops Selera, Ops Sapu dan Ops Kutip di Bandar Baru Ayer Hitam itu.
Katanya, kejayaan tangkapan itu adalah hasil risikan dan pemantauan Unit Tindakan Bahagian Penguatkuasa JIM negeri Johor yang mendapati mereka bekerja dan tinggal di negara ini tanpa memiliki permit atau pas pekerja yang sah.
“Seramai 62 orang warga asing dan warga tempatan telah diperiksa dalam operasi yang dijalankan keatas 16 premis di Bandar Baru Ayer Hitam itu.
“Hasilnya, seramai 20 orang lelaki warga Pakistan, sembilan lelaki warga Bangladesh dan masing-masing seorang lelaki serta dua orang wanita warga Indonesia berjaya ditahan,”katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Mohd Rosdi lagi, semua tahanan dipercayai dengan munasabah telah melakukan kesalahan mengikut Seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen 1959/63 iaitu masuk dan tinggal di Malaysia tanpa pas atau permit yang sah. – KOSMO! ONLINE