fbpx
Hanafi (kanan) melihat Azarol Faizi membuat gimik pelancaran bateri jenama Astra hari ini.

MITI sedia bantu usahawan muda tembusi pasaran ASEAN

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SHAH ALAM – Usahawan muda tempatan disaran membina kapasiti kukuh di peringkat domestik terlebih dahulu sebelum meluaskan pasaran produk mereka untuk menembusi pasaran ASEAN.

Timbalan Ketua Setiausaha (Industri), Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Datuk Hanafi Sakri berkata, pelbagai agensi termasuk SME Corp di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop) menyediakan bantuan dana untuk membantu pembangunan industri pada peringkat awal.

“Peringkat permulaan, Kuskop akan bangunkan industri melalui SME Corp. Apabila mereka sudah mencapai tahap mikro atau kecil, kita akan bantu lagi untuk mengembangkan produk bagi memenuhi keperluan domestik.

“Kemudian apabila mereka matang dan bersedia untuk mengeksport, MITI akan bantu mereka menembusi pasaran luar negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan pelancaran rasmi bateri automotif ASTRA yang menerima pensijilan SIRIM bagi kesemua 28 Stock Keeping Unit (SKU) produk di Kampung Baru Subang, Jalan Bukit Cherakah, Seksyen U16, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Hanafi berkata, MITI akan mula memainkan peranan apabila usahawan berkenaan telah menunjukkan kejayaan dan kesiapsiagaan di peringkat domestik.

“Kalau mereka sudah bersedia, kita akan bantu mereka untuk eksport, tapi mereka kena bangunkan kapasiti di peringkat tempatan dahulu,” katanya.

Mengulas mengenai pelancaran bateri jenama ASTRA, Ketua Pegawai Eksekutif Bateriku, Azarol Faizi Zakaria Ansari berkata, sebanyak sejuta unit bateri tersebut telah dipasarkan sejak tiga tahun lalu.

“Kita juga mewujudkan Makmal Kualiti Bateriku, iaitu fasiliti dalaman bagi menjalankan ujian menyeluruh terhadap prestasi, ketahanan dan keselamatan setiap bateri ASTRA yang dibekalkan.

“ASTRA bukan sekadar bateri, ia adalah janji terhadap kualiti, sokongan selepas jualan dan ketenangan fikiran untuk setiap pengguna di jalan raya.

“ASTRA adalah satu-satunya jenama bateri diperakui SIRIM IEC 60095 yang menawarkan Perlindungan Kumpulan Insuran Takaful Kemalangan Diri secara percuma dan bantuan waranti seluruh negara, yang merupakan inisiatif pertama dalam industri bateri Malaysia,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI