LONDON – Mason Greenwood kembali menjadi perhatian kelab Asia Barat selepas Al Nassr dilaporkan berminat membawa masuk penyerang Marseille itu bagi memperkuat jentera serangan musim ini.
Minat tersebut hadir ketika Greenwood mencatat prestasi memberangsangkan bersama Marseille dengan 21 gol dalam Ligue 1 musim lalu, selain meledak enam gol dalam lima perlawanan pramusim setakat ini.
Greenwood menyertai kelab Perancis itu dari Manchester United pada Julai lalu dengan nilai £26.6 juta (RM149.38 juta), susulan keputusan kelab untuk melepaskannya selepas menjalani siasatan dalaman berhubung kes jenayah yang telah digugurkan.
Ekoran prestasi semasa yang semakin meningkat, Al Nassr kini mengintai peluang untuk memburu khidmatnya dan ketua pasukan kelab Arab Saudi itu, Cristiano Ronaldo juga dilapor merestui hasrat berkenaan.
Meskipun Marseille enggan menjualnya, namun laporan menyebut mereka mungkin berubah fikiran sekiranya menerima tawaran lebih £85 juta (RM477.36 juta).
Namun, United dijangka memperoleh keuntungan besar sekiranya perpindahan berlaku kerana mereka masih memiliki klausa 50 peratus hasil jualan semula, sekali gus menjadikan urus niaga tersebut berpotensi menguntungkan kelab lama Greenwood.
Greenwood yang pernah menjaringkan 35 gol dalam 129 penampilan bersama United, sebelum dipinjamkan ke Getafe pada musim 2023/24, kini dilihat kembali berada pada landasan tepat untuk menghidupkan semula kariernya. – AGENSI