KUALA LUMPUR – Tindakan Israel membunuh golongan wanita dan kanak-kanak Palestin dengan alasan untuk mempertahankan diri tidak boleh diterima.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, pembunuhan, kekejaman, kemusnahan dan pelbagai jenayah kemanusiaan dilakukan dengan sengaja oleh rejim zionis.
“Mereka mengatakan mereka melakukan ini untuk mempertahakan diri, tetapi adakah membunuh wanita dan kanak-kanak merupakan asas untuk mempertahankan diri.
“Kalau ia pun untuk mempertahankan diri… berapa lagi hendak dibunuh dapat memuaskan hati mereka,” tegasnya pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.
Beliau menjawab soalan Ahmad Tarmizi Sulaiman (Sik-PN) langkah Malaysia untuk mendesak komuniti antarabangsa menghentikan serangan berterusan rejim zionis ke atas Gaza.
Mohamad berkata, Malaysia akan terus bersuara tentang Palestin di pentas antarabangsa walaupun banyak pihak berasa tidak selesa dengan pendirian Malaysia.
Menurut beliau, pendirian Malaysia adalah rakyat Palestin mesti diberi hak mentadbir sebuah negara yang merdeka dan mempunyai sempadan negara mereka.
“Apabila sudah ada sempadan baru kita boleh fikirkan bagaimana cara untuk membangunkan (Palestin). Siapa nak mentadbir itu bukan hak kita. Terpulang kepada mereka, kita tidak mahu masuk campur.
“Malaysia akan bersama dengan (negara) rakan-rakan sama pemikiran untuk pastikan Palestin yang merdeka dapat diterjemahkan segera,” katanya. – KOSMO! ONLINE