PETALING JAYA – Seorang pengguna media sosial berkongsi tangkap layar perbualan WhatsApp, memaparkan soalan yang dianggap tidak sensitif terhadap pasangan baru melangsungkan perkahwinan.
Dalam perbualan tersebut, seorang individu bertanyakan soalan mengenai zuriat kepada seorang wanita yang baru dua bulan mendirikan rumah tangga.
“Dah kahwin dua bulan kan? Masih tak mengandung lagi ke? Aku sebulan kahwin terus lekat,” soal individu tersebut.
Pertanyaan individu itu disifatkan sebagai tidak wajar dan berbaur sindiran terhadap pasangan yang belum dikurniakan zuriat.
Menjengah ke ruangan komen, ramai mengecam tindakan individu itu, seolah-olah memperkecilkan situasi pasangan lain, tanpa mengetahui cabaran atau isu kesihatan yang mungkin mereka hadapi.
Ada yang berpendapat bahawa soalan berkaitan kehamilan sesuatu isu peribadi dan boleh memberi tekanan kepada sesetengah pasangan apabila mereka sebenarnya dalam fasa berjuang untuk mendapatkan cahaya mata.
“Soalan sebegini boleh menyakitkan hati dan memberi tekanan emosi, lebih-lebih lagi jika pasangan tersebut sedang berusaha atau berdepan isu kesuburan,” kata Aziah.
“Mak cik-mak cik aku semua mulut macam ini, sampai trauma nak balik kampung,” luah Nurul Aliya.
“Aku hadap lagi teruk, mentua sendiri yang beri tekanan soal zuriat. Setiap kali berjumpa ada sahaja yang dia nak kata, siap paksa-paksa aku buat ujian kesuburan. Minta doakan aku tabah, dan diberikan zuriat,” kongsi seorang pengguna. – KOSMO! ONLINE