fbpx
TIGA dari kiri, Azman Mohd Yusof, Shamsul Azri dan Mohammed Azman bergambar bersama wakil rakan strategik pada Kongres Sinergi Sosial 2025 di Royale Chulan, Kuala Lumpur semalam – FARIZ RUSADIO

PERKESO meterai MoC dengan tiga rakan strategik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) memperkukuh sistem perlindungan sosial negara secara menyeluruh menerusi Memorandum Kerjasama (MoC) bersama tiga rakan strategik.

MoC sempena Kongres Sinergi Sosial 2025 berkenaan melibatkan Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (Perda), Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Ta’zim (YPKDT) dan One Hope Welfare & Charity.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, berkata, inisiatif PERKESO itu selari dengan hasrat kerajaan Madani yang mahu semua agensi mengamalkan budaya sistem kolaboratif.

Katanya, ia bukan sekadar slogan tetapi ikhtiar strategik untuk mengimbangi pembangunan material dengan kesejahteraan rakyat.

“Corak bekerja dalam kepompong atau secara ‘silo’ di Malaysia perlu berubah, dengan setiap agensi beralih daripada mengamalkan budaya ‘agensi eksklusif’ kepada budaya ‘sistem kolaboratif’.

“Program Sinergi Sosial ini selari hasrat kerajaan Madani iaitu menjadikan dasar-dasar sosial lebih manusiawi, lebih responsif dan lebih berteraskan rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada majlis perasmian Kongres Sinergi Sosial 2025, di sini semalam.

Kongres Sinergi Sosial 2025 merupakan edisi ketiga penganjuran dan dihadiri lebih 400 peserta dengan mengangkat tema ‘Budaya atau Proses’ untuk me­ngupas kepentingan menggabung budaya kemanusiaan bersama sistem penyampaian cekap.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PERKESO, Datuk Seri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, Program Sinergi Sosial yang dibangun pada 2017 bertujuan memastikan tiada keciciran bantuan.

Bagi tempoh dari 2019 hingga Julai lalu katanya, sebanyak 44,998 prospek dari seluruh negara disalurkan untuk tujuan penyaluran bantuan di pelbagai agensi.

“Program Sinergi Sosial yang setakat ini merekodkan 979 kolaborasi, merangkumi 117 agensi serta 862 pemimpin masyarakat di seluruh negara antara lain berperanan sebagai mata dan telinga PERKESO,” ujar­nya ketika berucap.

Jelas beliau, semua rakan strategik tersebut saling melengkapi untuk cuba memadankan individu yang memerlukan bantuan dengan agensi yang bernaung di bawah Program Sinergi Sosial.

“Dengan kaedah ini, mereka yang memerlukan bantuan tidak lagi perlu mengetuk satu demi satu pintu agensi penyedia bantuan sosial,” ujarnya ketika berucap. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI