GEORGE TOWN – Pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Surplus mendesak kerajaan supaya memperhalusi cadangan Konsulat Jeneral Republik Indonesia (KJRI) Johor Bahru yang mencadangan kemasukan jururawat asing khususnya Indonesia bertugas di hospital negara ini.
Ketua aktivisnya, Sophian Mohd. Zain berkata, cadangan tersebut merupakan satu langkah yang perlu dipertimbangkan secara serius kerana akan mendatangkan kesan terhadap ekonomi, rakyat dan negara.
Menurutnya, kebergantungan kepada jururawat asing juga akan menyebabkan pengaliran keluar wang negara sekali gus Malaysia akan kehilangan potensi sumbangan ekonomi dalam negara.
“Selain itu, ia akan mengecilkan peluang pekerjaan kepada jururawat tempatan terutamanya graduan baru yang kini berdepan isu penempatan kerja dalam sektor kesihatan.
“Dari sudut rakyat, isu komunikasi, budaya dan perbezaan standard latihan berpotensi menjejaskan kualiti rawatan di hospital tempatan. Pesakit mungkin berhadapan kesukaran dalam komunikasi yang akan menjejaskan pemahaman mereka terhadap rawatan yang diterima.
“Malah, perasaan tidak puas hati dalam kalangan rakyat pasti timbul apabila melihat peluang pekerjaan profesional dalam perkhidmatan awam diberikan kepada warga asing, sedangkan anak tempatan masih ramai yang menganggur,” katanya di sini, hari ini.
Dalam pada itu, katanya lagi, kemasukan jururawat asing juga menyebabkan negara akan menjadi terlalu bergantung kepada tenaga kerja asing dalam sektor kritikal.
“Ini bukan sahaja melemahkan kapasiti pembangunan tenaga tempatan malah membuka ruang lebih besar kepada warga asing menuntut hak yang tidak sepatutnya termasuk pendidikan , pekerjaan dan mungkin kewarganegaraan.
“Negara berisiko hilang kawalan ke atas sistem kesihatan awam jika warga asing menguasai tenaga kerja dalam sektor tersebut.
“Langkah ini perlu diteliti dengan lebih bijaksana. Malaysia tidak boleh terjebak dalam perangkap ‘menang-menang’ yang akhirnya hanya akan menguntungkan pihak luar, sementara rakyat tempatan terus terpinggir dalam negara sendiri,” jelasnya.
Tambah beliau, kerajaan seharusnya memperkukuhkan program latihan jururawat tempatan dan memastikan peluang pekerjaan dalam sektor kesihatan terus dinikmati oleh rakyat sendiri.
Semalam, media melaporkan KJRI Johor Bahru mencadangkan satu kerjasama strategik dengan hospital di Malaysia bagi membolehkan jururawat dari Indonesia berkhidmat di negara ini sekali gus menangani isu kekurangan tenaga kerja dalam sektor perubatan.
Konsul Jeneral Republik Indonesia di Johor Bahru, Sigit S Widiyanto memberitahu, langkah itu adalah situasi menang-menang memandangkan ketika ini kira-kira 70 peratus pesakit antarabangsa di negara ini berasal dari Indonesia. -KOSMO! ONLINE