SEBERANG PERAI – Jabatan Imigresen (JIM) menyatakan kesediaan untuk bekerjasama penuh dengan Agensi Kawalan Pintu Sempadan (AKPS) dalam menukar mana-mana pegawai yang dikenal pasti bermasalah termasuk terlibat dalam kegiatan ‘counter setting’.
Menurut Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban, sebarang perubahan melibatkan pegawai akan dibincangkan bersama AKPS sekiranya ada keperluan mendesak untuk melakukan rombakan.
“Pengurusan 22 pintu masuk utama negara kini telah diserahkan sepenuhnya kepada AKPS, termasuk di lokasi seperti Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Bangunan Sultan Iskandar, Kompleks Sultan Abu Bakar di Johor, serta lapangan terbang di Pulau Pinang, Kuching dan Kota Kinabalu.
“Namun begitu, pegawai kami masih menjalankan operasi harian di lapangan terbang terlibat. Tanggungjawab seperti ‘counter setting’ kini di bawah kendalian AKPS.
“Jika berlaku keperluan untuk rombakan, kita akan bincang dengan pihak AKPS. Sekiranya ada pegawai dikenal pasti melakukan salah laku, kita akan ambil tindakan dan beri kerjasama penuh,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai kemungkinan pertukaran pegawai JIM yang terlibat dengan isu ‘counter setting’ susulan penahanan beberapa pegawai, baru-baru ini. – KOSMO! ONLINE