CYBERJAYA – Empat buah kereta elektrik (EV) Dongfeng Box menanti pemenang bertuah yang berjaya melakukan pukulan ‘hole-in-one’ dalam Kejohanan Golf Amal Piala Presiden PEKEMA yang berlangsung di Palm Garden Golf Club, Putrajaya dari 23 hingga 24 Ogos ini.
Kejohanan yang dianjurkan Persatuan Pengimpot dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (PEKEMA) itu menawarkan jumlah hadiah keseluruhan melebihi RM500,000, menjadikan edisi ke-11 kali ini yang terbesar sejak ia mula diperkenalkan pada 2006.
Presiden PEKEMA, Datuk Mohamed Nazari Noordin berkata, kejohanan tersebut akan menghimpunkan hampir 500 pemain dengan lokasi baharu di Putrajaya dilihat mampu memberikan nafas segar kepada edisi ke-11.
Katanya, kejohanan itu bukan sekadar acara sukan tahunan, malah menjadi medan memperkukuhkan jaringan dalam kalangan pemain industri dan juga menjadi platform bagi pelaksanaan tanggungjawab sosial korporat (CSR).
“Kejohanan golf amal PEKEMA bukan sekadar acara sukan, ia juga platform penting untuk merapatkan hubungan usahawan, pemimpin industri dan agensi kerajaan, sekali gus memacu pertumbuhan ekonomi yang lebih inklusif,” katanya pada sidang media penganjuran kejohanan di sini, hari ini.
Sementara itu, Timbalan Presiden PEKEMA, Datuk Wan Sazrudeen Wan Zaid berkata, empat kereta elektrik Dongfeng Box akan ditawarkan sebagai hadiah ‘hole-in-one’ di Lubang 7, 12, 14 dan 17, selain wang tunai RM28,888 di Lubang 2.
“Acara ini melambangkan semangat keusahawanan, kemajuan teknologi automotif dan keprihatinan sosial. Kami percaya kemajuan ekonomi dan kesejahteraan masyarakat mampu bergerak seiring.
“Ia juga menjadi cerminan nilai-nilai murni PEKEMA dalam menyantuni masyarakat dan menyumbang kembali kepada komuniti secara berterusan,” kata Wan Sazrudeen.
Kejohanan yang bakal menghimpunkan hampir 500 peserta itu juga buat julung kalinya dianjurkan di luar Sabah, dengan lokasi baharu di Putrajaya dijangka menarik lebih ramai penyertaan termasuk dari luar negara. -KOSMO! ONLINE