fbpx
Antara peserta yang menyertai Cabaran Ngail Nismilan 2025.

Umpan cacing bawa tuah, bawa pulang RM4,500

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEREMBAN – Hanya berumpankan cacing, seorang juruukur dari bandar ini, Norizam Md. Sidek, 26, mencuri tumpuan apabila muncul juara Cabaran Ngail Nismilan 2025 dengan membawa pulang hadiah keseluruhan RM4,500.

Dia berjaya menaikkan ikan keli seberat 1.580 kilogram (kg.) pada pukul 11.54 pagi dalam pertandingan yang berlangsung meriah di Tasik Seremban Ahad lalu.

Lebih manis, Norizam yang masih bujang turut merangkul tempat ketiga dengan tangkapan seekor ikan haruan seberat 1.355 kilogram, sekali gus membawa pulang hadiah keseluruhan RM4,500.

“Saya tak sangka akan menang. Ikan itu pun saya rasa tak sampai 3 kg. Saya hanya nak belajar dengan kawan-kawan dan berseronok,” katanya.

Tempat kedua pula dimenangi oleh Rosly Mohamad Rasid, juga dari Seremban dengan tangkapan ikan keli seberat 1.420 kg. dan membawa pulang wang tunai RM1,000.

Acara tersebut anjuran Majlis Bandaraya Seremban (MBS) dengan kerjasama NS Events serta mendapat sokongan penuh daripada Tourism Malaysia, bersempena sambutan Tahun Melawat Malaysia 2026 dan Tahun Melawat Negeri Sembilan 2026.

Ia bertujuan merancakkan aktiviti pelancongan berasaskan komuniti dan rekreasi luar bandar di Negeri Sembilan.

Datuk Bandar Seremban, Datuk Masri Razali berkata, sambutan luar jangkaan membuktikan potensi besar pertandingan seperti ini sebagai produk pelancongan yang berimpak tinggi.

Pada awal katanya, penganjur menyasarkan sekitar 700 penyertaan, tetapi kehadiran melebihi 1,000 peserta membuktikan minat mendalam rakyat terhadap aktiviti santai seperti memancing.

Melihat sambutan yang amat menggalakkan, MBS merancang memperluaskan konsep ini melalui penganjuran siri pertandingan ‘GP Joran Nismilan’ di tasik-tasik rekreasi lain di seluruh Negeri Sembilan.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI