fbpx
Ismanira dan Zaim Ikhwan ketika hadir di Mahkamah Sesyen hari ini. Foto oleh Shidiqqin Zon

Pembelaan tutup kes, nasib ibu Zayn Rayyan diketahui 31 Oktober

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Selepas lima saksi dipanggil memberi keterangan, pihak pembelaan ibu Zayn Rayyan Abdul Matin dalam pertuduhan mengabaikan anaknya menutup kes di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Perbicaraan di hadapan Hakim Dr. Syaliza Warnoh yang memakan masa selama enam hari sejak 21 Julai lalu itu berakhir dengan saksi pembelaan terakhir Pakar Psikologi Kanak-Kanak Dr. Noor Aishah Rosli memberi keterangan.

Hakim Syaliza kemudian menetapkan 31 Oktober bagi memutuskan sama ada tertuduh Ismanira Abdul Manaf akan disabitkan kesalahan atau dibebaskan daripada pertuduhan diakhir pembelaan kesnya.

Sebelum ini pada 21 Julai lalu, Ismanira diperintah membela diri, manakala suaminya Zaim Ikhwan Zahari yang juga bapa Zayn dilepas dan dibebaskan.

Mahkamah memutuskan demikian, selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya mewujudkan kes prima facie terhadap Ismanira manakala gagal membuktikan kes pendakwaan terhadap Zaim Ikhwan.

Sejurus selepas keputusan, pada tarikh sama, Hakim Syahliza terus mendengar keterangan bela diri Ismanira selama tiga hari.

Selain Ismanira, saksi pembelaan lain yang turut dipanggil memberi keterangan ialah bapa mentuanya, Zahari Mohd. Reba, rakan Ismanira iaitu Umi Syafiqah Rohizal dan ibu saudara tertuduh.

Kesemua saksi pembelaan itu juga telah selesai pada peringkat pemeriksaan utama, pemeriksaan balas dan pemeriksaan semula daripada pihak pembelaan dan pendakwaan.

Sebelum ini, pada Februari lalu, pihak pendakwaan menutup kesnya selepas kesemua saksi pendakwaan selesai memberikan keterangan.

Ketika peringkat pendakwaan itu, antara yang dipanggil ialah dua saksi kanak-kanak yang merupakan antara individu terakhir melihat Zayn Rayyan dalam keadaan masih hidup.

Turut didedahkan pada perbicara peringkat pendakwaan itu ialah rekod perbualan WhatsApp yang dibacakan oleh juruanalisis Polis Diraja Malaysia (PDRM) di antara `Baby Sayang’ dan ‘Manja’ yang berlaku sebelum dan selepas kehilangan kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan.

Antara perbualan yang dibacakan di mahkamah ialah “Stresnya sampai rasa nak bunuh orang je.” “Hang belasah je la sampai puas.” “Lantaklah nak hidup ke nak mati.”

Sepanjang prosiding Ismanira diwakili peguam Haresh Mahadevan, Ramzani Idris dan Lavanesh Haresh Mahadevan manakala pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin, Aqharie Durranie Aziz dan Nur Sabrina Zubairi.

Mengikut pertuduhan Ismanira Abdul Manaf berusia 30 tahun itu sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap Zayn Rayyan Abdul Matin yang berusia enam tahun (ketika kejadian) didakwa mengabaikannya dengan cara yang mungkin menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sekitar kawasan Blok R, Apartment Idaman, Damansara Damai sehingga ke kawasan sungai berdekatan Apartment Idaman, Damansara Damai di sini antara pukul 12 tengahari, 5 Disember dan pukul 9.55 malam pada 6 Disember 2023.

Justeru mereka didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI