KUANTAN – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) mengesan tindakan segelintir nelayan asing dari Vietnam dipercayai aktif menceroboh perairan negara bagi mencuri hasil laut di Laut China Selatan terutama ketika musim cuaca buruk.
Pegawai Memerintah Kapal Maritim (KM) Langkawi, Komander Maritim Eizanizam Muhammad Eng berkata, bagaimanapun pihaknya sentiasa bersedia untuk berdepan jenayah laut terutama nelayan Vietnam yang semakin mengganas.
“Bila kita menghampiri, mereka akan (lakukan) provokasi terhadap anggota.
“Kita perlu ada ilmu lautan dan berani. Mereka akan masuk ikut musim cuaca buruk kerana anggap kapal besar ke lokasi tertentu adalah terhad,” katanya ketika ditemui semasa program Hari Bersama Media (HBM) Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) di sini, semalam.
Program selama dua hari itu melibatkan penyertaan kira-kira 50 pengamal media daripada pelbagai agensi dengan penganjuran pertandingan menembak menggunakan pistol Glock 19.
Pengamal media turut diberikan peluang menaiki KM Langkawi sebelum menyaksikan demonstrasi tembakan di laut oleh APMM menggunakan GPMG serta M16 sebelum dibenarkan mencuba menggunakannya bagi menembak ke sasaran ditetapkan.
Sementara itu, Ketua Pengarah Maritim, Laksamana Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah dalam ucapannya berkata, media merupakan rakan strategik sejak awal penubuhan agensi ini.
Katanya, APMM menghargai sokongan media dalam menyampaikan maklumat kepada rakyat.
“Tujuan program HBM ini ialah memberi pendedahan secara langsung kepada media tentang tugas dan peranan kami (APMM).
“Tahun ini sedikit kelainan, selain aktiviti termasuk ujian menembak, media dibawa menaiki KM Langkawi,” ujarnya.
Untuk rekod, KM Langkawi merupakan kapal ronda luar persisir yang dibina di Korea Selatan.
Kapal sepanjang 75 meter ini mampu melaksanakan tugasan menjaga dan pengawasan di Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) selain boleh beroperasi di laut sehingga dua minggu biar pun dalam keadaan cuaca buruk. – KOSMO! ONLINE