fbpx
Saifuddin memeluk salah seorang peserta program i-Deen Kepulihan 2025 di Ibu Pejabat AADK di sini hari ini. Foto oleh AMIR KHALID/ KOSMO!

i-Deen AADK pulih bekas penagih dadah berteras al-Quran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KAJANG –  Program i-Deen Kepulihan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) 2025 menjadi platform penting dalam membina modal insan berjati diri yang menjadikan al-Quran sebagai panduan hidup, sekali gus melahirkan klien berakhlak mulia dan berdaya tahan.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, ia menjadi salah satu pendekatan penting AADK dalam membantu golongan terlibat dengan penagihan dadah kembali ke pangkuan masyarakat.

Menurutnya, AADK sentiasa berusaha memperkukuh pendekatan pemulihan secara menyeluruh termasuk elemen psikospiritual agar klien mampu mengatasi cabaran selepas kembali ke pangkuan masyarakat.

“Program i-Deen ini bukan sahaja menekankan aspek rawatan, malah turut membentuk kekuatan rohani dan moral dalam diri peserta. Kita mahu mereka pulih sepenuhnya dan menjadi insan berguna yang bebas daripada dadah,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat AADK, di sini, hari ini.

Saifuddin berkata, nama i-Deen diambil daripada gabungan perkataan ‘i’ (idola) dan ‘Deen’ (agama) yang membawa maksud idola yang beragama.

Katanya, seramai 223 klien yang mengikuti Program Rawatan dan Pemulihan Dalam Komuniti (RPDK) serta Program Rawatan dan Pemulihan Dalam Institusi (RPDI) menyertai peringkat saringan, manakala 111 klien layak ke peringkat akhir acara tilawah al-Quran, hafazan dan lagu ketuhanan tahun ini.

Pasukan AADK Johor dinobatkan selaku johan keseluruhan pertandingan yang diadakan pada tahun ini.

Mengangkat tema Lebih Baik Cegah, program ini menekankan kepentingan langkah pencegahan kepada kumpulan sasar, bukan sahaja bagi individu yang belum terjebak dengan penagihan, malah untuk memastikan mereka yang telah pulih mengekalkan kepulihan.

Beliau berkata, program tersebut memberi peluang kepada klien menunjukkan kesungguhan, keteguhan mental dan perubahan positif dalam usaha membebaskan diri daripada belenggu dadah.

“Pendekatan psikospiritual yang diterapkan turut terbukti memberi kesan positif terhadap proses pemulihan kerana ia menyentuh dimensi psikologi dan rohani, selaras dengan amalan serta nilai masyarakat Malaysia Madani.

“Melalui penganjuran ini juga, AADK yakin mampu melahirkan Ikon Antidadah yang memahami hasrat agensi dan seterusnya menyumbang kepada pembangunan masyarakat selepas tamat menjalani rawatan dan pemulihan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI