KOTA BHARU – Seorang guru yang masih bujang didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas empat pertuduhan melakukan amang seksual terhadap murid lelaki berusia 11 tahun di dalam kereta dan tandas di dua lokasi berasingan dekat sini pada tahun lalu.
Tertuduh, Syahril Faiza Zakaria, 51, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Zulkifli Abllah.
Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, tertuduh sebagai guru yang mempunyai hubungan amanah dengan mangsa didakwa melakukan amang seksual terhadap murid lelaki berusia 11 tahun enam bulan.
Kedua-dua perbuatan itu dilakukan di dalam sebuah kereta ketika sedang dalam perjalanan menuju ke sebuah kompleks beli-belah di sini kira-kira pukul 2 petang pada Mac tahun lalu.
Bagi pertuduhan ketiga dan keempat, Syahril Faiza sebagai guru yang mempunyai hubungan amanah dengan mangsa didakwa melakukan amang seksual terhadap mangsa yang sama.
Perbuatan itu dilakukan di sebuah tandas di pusat peranginan di Pantai Cahaya Bulan di sini pada waktu siang Mei tahun lalu.
Bagi keempat-empat pertuduhan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14(a), Seksyen 14 (b) dan Seksyen 14(d) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 14 akta sama, dibaca bersama Seksyen 16 akta sama.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Faiz Fitri Mohamad manakala tertuduh diwakili peguam, Mohd. Saifullah Che Mat
Terdahulu, Ahmad Faiz tidak mencadang sebarang jaminan memandangkan kes tersebut serius selain tertuduh mempunyai hubungan amanah dengan mangsa.
Mahkamah kemudian membenarkan jaminan RM30,000 untuk keempat-empat pertuduhan dengan syarat tambahan iaitu dilarang mengganggu saksi pendakwaan selain menetapkan 10 September depan untuk sebutan semula kes.
Tertuduh membayar ikat jamin yang ditetapkan oleh mahkamah. – KOSMO! ONLINE