PETALING JAYA – Seorang wanita didakwa membiarkan anaknya mengejar kereta yang dipandu dari lobi kondominium ke jalan utama sekali gus mengundang kemarahan orang ramai.
Menerusi hantaran yang dimuat naik pengguna Thread Sheera Nazir, kejadian itu berlaku di Wangsa Maju, Kuala Lumpur pagi tadi dan turut dilaporkan kepada pihak polis.
“Aku nak pergi ‘check up’ bayi, dah satu hal kena pergi balai dulu lapor hal kau. Dari lobi kondominium dia biar anak berlari melalak kejar kereta.
“Dia pula yang marah kita ‘haaaa pergi report police (buat laporan polis), I want to educate him (saya mahu mendidik dia).
“Aku pun emak budak juga, jalan raya sesak begini tempat mendidik ke? Depan ni sesak pagi-pagi, habis aku kena bergembira je tengok drama ni ke macam mana?,” katanya.
Menjawab pertanyaan orang ramai, Sheera berkata, dia dimaklumkan oleh ibu tersebut bahawa kanak-kanak itu bergaduh dengan adiknya di dalam kereta.
“Budak tu dengan adik dia bergaduh dalam kereta, jadi mak dia tak boleh memandu. Tu yang mak dia kata tadilah.
“Tak lama lepas itu anak dia masuk kereta, mak dia ‘speed’ (bawa laju) macam nak mula berlumba. Aku pun terus ke balai,” katanya.
Katanya, pengguna kenderaan lain turut berhenti dan memarahi ibu kanak-kanak tersebut.
“Ada mak dia dalam kereta, semua berhenti, maki dia, lepas itu ‘blah’ (pergi), sebab dia tak nak dengar semua orang cakap. Darah aku terus naik pagi ini sekian,” ujarnya.
Menjengah ke ruangan komen, ramai yang marah dengan tindakan ibu tersebut membiarkan anaknya mengejar kereta sekali gus boleh mengundang risiko kemalangan.
“Didik anak apa mcm ni? Karang (Nanti) anak dia kena langgar kereta dah satu hal, dah lah pakai baju sekolah. Menyusahkan orang lain. Kasihan budak tu,” kata afiqahnor.
“Gila betul. Akal kat mana. Kot ye pun marah dengan anak, sampai biar anak berlari kat jalan besar. Nanti maknya dah kena tangkap sila kemas kini,” komen theotherjourneyyy.
“Berani eh, kot anak tu kena langgar, dah jadi hal lain. Hilang akal ke maknya?” balas serigalakecik. – KOSMO! ONLINE