fbpx
Fadillah Yusof (lima dari kanan) bergambar ketika hadir menyempurnakan Majlis Penutup Persidangan Biodiversiti Bandar 2025 yang berlangsung di Pusat Konvesyen Sime Darby, Bukit Kiara hari ini.

Biodiversiti bandar jana pertumbuhan ekonomi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Pelaburan untuk memperkayakan biodiversiti di bandar diyakini mampu memberikan pulangan lumayan yang seterusnya membantu menjana pertumbuhan ekonomi negara, menurut Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.

Katanya, selain pulangan kewangan, pelabur akan turut menyaksikan pulangan kepada alam sekitar, kesihatan rakyat, dan masa depan generasi akan datang.

“Bandar yang lebih hijau mampu menarik minat pelabur serta pelancong, manakala dari segi pulangan pelaburan, harganya akan lebih baik sebab orang akan membeli bukan sekadar rumah, sebaliknya kawasan yang betul-betul boleh dipanggil sebagai tempat tinggal.

“Pembeli sanggup membayar premium kepada tempat tinggal yang lebih mesra alam, lebih mesra kepada pengguna dan penghuni,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucapan penutup Persidangan Biodiversiti Bandar 2025 di sini, hari ini.

Fadillah bersama Ahli Lembaga Pemegang Amanah TRCRC, Fatimah Merican (kanan) serta Ketua Pegawai Eksekutif Sime Darby Property, Datuk Seri Azmir Merican (kiri) menyaksikan Pengarah Eksekutif TRCRC, Dr. Dzaeman Dzulkifli (duduk, kanan) dan Ketua Pegawai Operasi Pembangunan Bandar Sime Darby Property, Appollo Leong menandatangani dokumen perjanjian kerjasama hari ini.

Persidangan julung kali anjuran Sime Darby Property itu berjaya menarik hampir 500 peserta yang terdiri daripada pembuat dasar dan wakil agensi kerajaan, pakar alam sekitar, pemain industri , pertubuhan bukan kerajaan dan ketua komuniti.

Ia turut menyaksikan Sime Darby Property memeterai kerjasama lima tahun bersama Pusat Penyelidikan & Konservasi Hutan Hujan Tropika (TRCRC).

Perkongsian berkenaan memperkukuhkan komitmen bersama kedua-dua belah pihak untuk mengintegrasikan pendekatan bermakna secara ekologi ke dalam pembangunan bandar melalui penyelidikan biodiversiti, pemuliharaan spesies asal, pemulihan ekologi dan penglibatan komuniti. – KOSMO! ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN