SYDNEY – Australia akan menaik taraf tentera lautnya dengan mendapatkan 11 kapal frigat kelas Mogami yang dibina oleh Mitsubishi Heavy Industries dari Jepun, kata Menteri Pertahanan Richard Marles hari ini.
“Ini merupakan perjanjian industri pertahanan terbesar pernah dicapai antara Jepun dan Australia,” kata Marles ketika mempromosikan pembelian bernilai AS$6 bilion (RM25.3 bilion) itu.
Mitsubishi Heavy Industries memenangi tender tersebut berbanding ThyssenKrupp Marine Systems dari Jerman.
Australia mengumumkan penstrukturan semula tenteranya pada 2023, beralih kepada keupayaan serangan jarak jauh untuk bertindak balas dengan lebih baik terhadap kekuatan tentera laut China.
Kapal perang kelas Mogami adalah frigat ‘halimunan’ canggih dilengkapi pelbagai senjata yang kuat.
Marles berkata, kapal-kapal itu akan menggantikan armada kapal kelas Anzac Australia yang semakin usang, dengan kapal kelas Mogami pertama akan beroperasi menjelang 2030.
“Frigat kelas Mogami adalah frigat terbaik untuk Australia.
“Ia adalah kapal generasi akan datang. Ia adalah kapal halimunan (sukar dikesan oleh radar). Ia mempunyai 32 sel pelancaran menegak yang mampu melancarkan peluru berpandu jarak jauh,” kata Marles
Menteri industri pertahanan Pat Conroy berkata, frigat tersebut mampu melancarkan peluru berpandu jelajah Tomahawk jarak jauh.
Australia mengumumkan rancangan pada 2021 untuk mendapatkan kapal selam berkuasa nuklear rekaan AS dan membatalkan pelan sebelum ini untuk membangunkan kapal selam bukan nuklear dari Perancis. – AFP