MOSCOW – Sebanyak enam gunung berapi meletus selepas gempa bumi mega berkekuatan 8.8 magnitud menggegarkan rantau Timur Jauh di Russia pada minggu lalu, lapor akhbar The Sun UK semalam.
Rakaman video dramatik menunjukkan aktiviti seismik yang belum pernah terjadi sebelum ini di Semenanjung Kamchatka, melibatkan beberapa gunung berapi.
Klyuchevskaya Sopka yang merupakan gunung berapi terbesar di rantau itu meletus dengan mengeluarkan aliran lahar panas, hanya beberapa jam selepas gempa bumi besar berlaku.
Gunung berapi berusia 7,000 tahun itu aktif sejak April lalu tetapi kini mempamerkan pergolakan lebih tinggi dengan kemungkinan letusan meningkat.
Kemudian kelmarin, Gunung Krasheninnikov memuntahkan abu sehingga 6.4 kilometer ke langit dalam letusan kali pertama dalam tempoh 600 tahun.
Gunung berapi Shiveluch yang memuntahkan abu kira-kira 3.2 kilometer ke udara pula kini dilihat dalam peringkat meletus.
Sebuah lagi gunung berapi, Bezymianny meletus pada ketinggian 2.8 kilometer dan mengeluarkan awan aerosol yang berbahaya pada pesawat.
Gunung berapi Karymsky pula meletus pada ketinggian lebih kecil iaitu hampir 1.6 kilometer, manakala Avachinsky pada ketinggian 2.7 kilometer.
Sementara itu, amaran dikeluarkan petang semalam kerana terdapat gegaran di tapak seterusnya di gunung berapi Mutnovsky.
“Hari ini (semalam) kita menyaksikan fenomena yang sangat jarang berlaku. Saya gelarkan fenomena ini sebagai perarakan letusan gunung berapi,” kata Pengarah Institut Vulkanologi dan Seismologi Cawangan Timur Jauh Akademi Sains Russia, Alexei Ozerov.
Susulan fenomena tersebut, pihak berkuasa mengeluarkan amaran kepada orang ramai agar tidak mengunjungi kawasan gunung berapi dalam masa terdekat. – AGENSI