KLUANG – Tindakan seorang wanita membawa masuk lelaki lain ketika suaminya tiada di rumah di Taman Sri Impian di sini, menjerat diri sendiri apabila perbuatan itu dikesan pihak Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) semalam.
JAINJ berkata, dalam serbuan pada pukul 12.30 tengah malam itu, lelaki tersebut yang juga duda berusia 40 tahun itu cuba meloloskan diri melalui pintu belakang, namun tidak berjaya.
Ini kerana pasukan penguat kuasa JAINJ sudah bersedia dan menjangkakan tindakan tersebut dengan meletakkan anggotanya di pintu belakang rumah tersebut.
Katanya, pemeriksaan mendapati terdapat seorang kanak-kanak sedang tidur di salah satu bilik selain wanita berusia 40 tahun yang berstatus isteri orang dalam rumah berkenaan.
“Cubaan lelaki itu memberi alasan datang ke rumah tersebut untuk menghantar makanan tidak menjadi kerana semakan mendapati dia bukannya penghantar makanan.
“Malah, tindakan lelaki itu meletakkan motosikalnya jauh dari rumah tersebut bagi mengelak diketahui jiran turut menimbulkan tanda tanya,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Menurut JAINJ, siasatan awal mendapati pasangan itu berkenalan sejak setahun lalu ketika beriadah berhampiran tasik di taman tersebut. Mereka kerap berhubung melalui WhatsApps dan hubungan itu tidak diketahui suami wanita terbabit yang kerap melakukan tugas luar daerah.
“Lelaki tersebut yang turut tinggal di taman sama datang ke rumah wanita berkenaan ketika suaminya tiada di rumah,” katanya. – KOSMO! ONLINE