PUTRAJAYA – Tiada niat merahsiakan sudah berbadan dua, pelakon Siti Saleha yang kini hamil empat bulan mahu berkongsi berita gembira itu hanya selepas pulang dari bercuti di Bali, Indonesia, baru-baru ini.
Begitupun katanya, perubahan pada bentuk badan ketika hadir di sebuah majlis sebelum ‘terbang’ ke pulau percutian itu dapat dihidu ramai sekali gus membuatkannya tergamam.
“Tidak maklumkan kepada sesiapa ketika kandungan masih di trimester pertama. Kita ‘simpan’ sendiri dulu. Tak cakap pada famili pun sehingga kami benar-benar pasti.
“Sebenarnya memang tunggu masa sesuai nak bagi tahu tapi terkantoi pula dalam TikTok. Lepas itu media tanya, padahal sudah rancang nak umum di Bali, tepi laut.
“Masa tu saya dah tergamam, tak tahu nak jawab apa masa ditanya. Tapi susah umum (hamil). Ramai doakan yang baik-baik, terima kasih,” katanya ketika ditemui selepas Anugerah Melodi Terhangat (AMT) 2025 di, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), semalam.
Menurut pelakon itu lagi, dia akan berehat panjang selepas selesai menjayakan penggambaran drama bersiri Bad Cop arahan Jason Chong.
“Selepas selesai projek saya sekarang ini, saya takkan ambil tawaran berlakon yang lain sebab hanya mahu ‘chill’ sekejap sampai saya bersalin.
“Tengoklah nanti apabila badan kembali mantap dan ramping, saya akan ‘shoot’ balik. Tapi rehat sekejap sahaja, bukan dua atau tiga tahun,” ujarnya.
Berkongsi momen fasa indah ini, Saleha katanya ketika trimester pertama dirinya tidak mengalami sebarang alahan atau rasa mengidam kecuali mudah letih.
“Alhamdulillah trimester pertama memang tiada alahan apa-apa. Saya bersyukur juga kerana saya ‘shooting’ sekarang ini dan gembira juga sebenarnya jadual ditunda pada ke tarikh baru.
“Kalau ‘shooting’ ketika trimester pertama kehamilan, rasanya agak bergelut walaupun tiada alahan, mengidam atau mual.
“Tapi penat itu biasa sebagai wanita hamil. Pada trimester pertama saya hanya duduk rumah, kalau tiada apa-apa, banyak tidur,” katanya.
Baru-baru ini, Saleha berkongsi berita kehamilan dalam hantaran video yang dimuat naik di Instagram ketika dia dan suaminya, Joshua Fitton berada di Bali.
Saleha dan Joshua juga pereka fesye diijabkabul dalam majlis tertutup di Janda Baik, Pahang, sekitar Februari lalu.
Sementara itu, mengenai kemenangannya menerusi kategori Selebriti Ikon Terhangat di AMT 2025, dia bersyukur terus menerima sokongan dari peminatnya.
“Alhamdulillah rezeki saya untuk menang kategori ini. Saya sangat dirahmati menerusi karier saya dan saya sangat bersyukur apabila dipilh sebagai ikon selepas lebih 15 tahun dalam industri ini,” katanya.
“Ini juga rezeki saya, rezeki ‘baby’ dan juga kelab peminat yang sangat setia dan tak pernah putus berikan sokongan dan undi.
“Saya terharu kerana mereka menyayangi saya seadanya. Ini sesuatu yang sangat saya hargai,” katanya. – KOSMO! ONLINE