BERAKSI dalam keadaan permukaan gelanggang basah akibat air menitik dikatakan berpunca daripada wap penyaman udara langsung tidak menghalang beregu lelaki negara, Arif Junaidi-Yap Roy King daripada menjuarai Kejohanan Badminton Terbuka Macau.
Pada perlawanan akhir berlangsung di East Asian Games Dome semalam, pasangan No. 24 dunia itu mengejutkan pilihan utama dari Indonesia, Sabar Karyaman Gutama-Moh Reza Pahlevi Isfahani menerusi kemenangan 22-20, 21-18.
Walaupun turun sebagai pemain pilihan keempat, namun Arif-Roy King menampilkan aksi cukup luar biasa apabila berjaya meletakkan beregu No. 8 dunia yang juga naib juara Terbuka Indonesia itu dalam keadaan tertekan.
Meskipun perlawanan terpaksa dihentikan beberapa kali bagi memberi laluan kepada petugas untuk mengelap permukaan gelanggang yang basah, namun pasangan negara tetap fokus dengan misi merangkul gelaran.
Menerusi kemenangan tersebut, Arif-Roy King berjaya menamatkan kemarau kejuaraan dalam saingan Jelajah Dunia selepas percubaan mereka pada Sepanyol Masters, Mac tahun lalu berakhir dengan gelaran naib juara.
Selaku juara, Arif-Roy King membawa pulang hadiah wang tunai AS$29,230 (RM125,031) berserta pingat, manakala Sabar Karyaman-Moh Reza berpuas hati dengan AS$14,060 (RM60,141) dan juga pingat.
Sementara itu, perseorangan lelaki negara, Justin Hoh terlepas peluang untuk meraih gelaran sulung di pentas Jelajah Dunia apabila akur dengan kekalahan straight set 15-21, 5-21 kepada Alwi Farhan dari Indonesia.
Difahamkan, Justin terpaksa bermain lebih berhati-hati di set kedua ekoran air yang menitik di atas gelanggang, lebih-lebih lagi dia pernah dibelenggu kecederaan serius sebelum ini.
Menerusi kekalahan bekas juara remaja Asia itu, Malaysia terus kemarau gelaran Jelajah Dunia dalam acara perseorangan lelaki selepas kali terakhir dilakukan pemain profesional, Lee Zii Jia pada Terbuka Australia tahun lalu.
“Memang hari ini (semalam) ada air menitik ke atas gelanggang dan itu mengganggu pergerakan Justin. Kita semua tahu dia pernah mengalami kecederaan teruk sebelum ini,” kata jurulatih perseorangan lelaki negara, K. Yogendran. – KOSMO! ONLINE