KLANG – Dua lelaki diburu selepas memukul seorang warga asing disyaki menggunakan kayu dalam kejadian di Jalan Meru, di sini baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S. Vijaya Rao berkata, pihaknya mengesan sebuah video berhubung kejadian itu pada pukul 9 malam, Jumaat lalu.
“Motif kejadian dipercayai kerana suspek tidak berpuas hati dengan mangsa yang tinggal di kawasan tersebut.
“Satu kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan. Usaha mengesan suspek sedang giat dijalankan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohamad Nazmi Mat Noh di talian 03-3291 2222.
Terdahulu, tular video berdurasi satu minit 49 saat memaparkan dua lelaki yang menunggang motosikal ‘menahan’ mangsa yang menaiki motosikal beroda tiga di sebuah kawasan perumahan.
Kedua-dua lelaki itu kemudian memukul mangsa berulang kali sambil memaki lelaki itu menggunakan kata-kata kesat sambil disaksikan penduduk di lokasi berkenaan. – KOSMO! ONLINE