PETALING JAYA – Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim akan berangkat ke Russia bagi Lawatan Negara selama enam hari bermula 5 hingga 10 Ogos ini atas jemputan rasmi Presiden Russia, Vladimir Putin.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, lawatan bersejarah itu menjadikan Seri Paduka Baginda sebagai ketua negara Malaysia pertama menjejakkan kaki ke Russia bagi Lawatan Negara sejak hubungan diplomatik Malaysia–Russia dimeterai pada 1967.
“Lawatan ini melambangkan kedudukan Seri Paduka Baginda sebagai lambang perpaduan negara yang turut memainkan peranan strategik dalam memperkukuh hubungan antarabangsa Malaysia,” katanya di media sosial.
Menurut Anwar, lawatan tersebut membuka lembaran baharu dalam hubungan dua hala antara Malaysia dan Russia serta dijangka merancakkan kerjasama strategik dalam pelbagai bidang.
Antara bidang kerjasama yang bakal diberi perhatian termasuk perdagangan dua hala, pelaburan, pendidikan tinggi, teknologi dan inovasi serta hubungan antara rakyat.
“Malaysia juga berpotensi menarik pelaburan serta teknologi baharu daripada Russia, khususnya dalam sektor tenaga, aeroangkasa, pertahanan dan pertanian pintar sejajar dengan agenda Ekonomi Madani yang menekankan daya saing, kemampanan dan kemakmuran bersama,” katanya.
Anwar menegaskan, lawatan ini turut memperkukuh peranan Institusi Diraja Malaysia sebagai pemacu diplomasi negara yang dihormati di peringkat antarabangsa.
“Ia sekali gus memperteguh kedaulatan dan imej Malaysia sebagai negara yang berkecuali, terbuka dan progresif,” katanya. – KOSMO! ONLINE.