SIMUNJAN – Pelajar dan guru di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Sadong di sini, kini menikmati ekosistem pembelajaran dan pengajaran yang moden dan kondusif hasil daripada pelaksanaan projek pembinaan gantian 12 bilik darjah, lima unit rumah guru dan lain-lain kemudahan di sekolah luar bandar itu.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, projek itu adalah antara inisiatif penting kerajaan yang digerakkan melalui kementeriannya dan Jabatan Kerja Raya (JKR).
“Tujuan utama projek ini dilaksanakan adalah untuk menaik taraf prasarana pendidikan di kawasan luar bandar agar selari dengan aspirasi nasional mengukuhkan ekosistem pembelajaran dan pengajaran yang moden, kondusif dan inklusif yang dapat merangsang kecemerlangan anak-anak kita.
“Kita tidak hanya membina bangunan tetapi sebenarnya kita membina harapan dan masa depan, dengan menjadikan sekolah sebagai ruang tumbuhnya generasi masa hadapan yang berilmu, berakhlak, berteknologi dan berdaya saing,” katanya pada majlis penyerahan projek pembinaan gantian 12 bilik darjah, lima unit rumah guru dan lain-lain kemudahan di SMK Sri Sadong, hari ini.
Menurutnya, projek bernilai RM28.73 juta itu dilaksanakan oleh Pasukan Projek Khas 2 (PPK2), JKR Malaysia bermula 17 Mac 2022 dan berjaya disiapkan awal daripada jadual pada tahun ini.
Katanya, antara skop utama projek melibatkan pembinaan satu blok akademik yang merangkumi 12 bilik darjah, bengkel elektrik/elektronik dan bengkel pembuatan, makmal komputer, makmal sains, makmal kimia, makmal biologi dan makmal fizik, Bilik Pendidikan Khas (PPKI), satu blok kantin, lima unit rumah guru kelas F serta pelbagai kemudahan sokongan lain. – KOSMO! ONLINE