SEBERANG PERAI – Bilik darjah Sekolah Rendah Islam At Taqwa di Jalan Bertam Indah di sini musnah dalam satu kejadian kebakaran petang tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat JBPM Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, kebakaran tidak membabitkan kecederaan atau kemalangan jiwa dan punca kejadian sedang dikenal pasti.
Katanya, pihak bomba menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 3.58 petang sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kepala Batas dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Kebakaran melibatkan satu daripada daripada tujuh bilik darjah di bangunan setinggi dua tingkat. Bilik darjah di tingkat bawah berkeluasan 20 x 30 kaki persegi itu musnah kira-kira 25 peratus dan api dipadamkan sepenuhnya pada pukul 4.10 petang,” katanya.-KOSMO! ONLINE