KANGAR – Perlis GSA FC berjaya mengikat Kedah FA (KFA) tanpa jaringan dalam perlawanan sulung saingan Liga A1 Semi Pro 2025/2026 yang berlangsung di Stadium Tuanku Syed Putra semalam.
Separuh masa pertama menyaksikan KFA tampil garang dengan beberapa percubaan berbahaya termasuk satu cubaan pada minit ke-12 yang hanya singgah di palang gol.
Perlis GSA kemudian terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas pertahanan, Muhammad Nasri Ahmad Thauhid dilayangkan kad merah oleh pengadil pada minit ke-34.
Memasuki babak kedua, kedua-dua pasukan saling mengasak namun gagal menghasilkan sebarang jaringan sehingga tamat perlawanan.
Presiden Perlis GSA, Izizam Ibrahim berkata, perlawanan itu menyaksikan pasukannya tampil berani dengan menurunkan rata-rata pemain tempatan bawah usia 20 tahun.
“Keputusan seri ini menunjukkan anak-anak muda Perlis masih berpotensi besar untuk bersaing di peringkat lebih tinggi walaupun tanpa pemain import,” katanya.
Menurutnya, hampir keseluruhan barisan pertahanan GSA terdiri daripada pemain bawah 20 tahun yang diberi peluang beraksi menentang pasukan lebih berpengalaman.
Jelas Izizam, persembahan pasukan amat membanggakan kerana berjaya mengekang asakan KFA yang turun dengan reputasi lebih besar.
Perlis GSA dijadualkan berdepan Machan FC di Stadium Hang Tuah, Melaka pada 8 Ogos ini dan bertekad membawa pulang tiga mata penuh. – KOSMO! ONLINE