PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan golongan peladang, penternak dan nelayan sebagai tulang belakang kekuatan negara dalam menjamin sekuriti makanan dan kelangsungan hidup rakyat.
Ketika bercakap sempena Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) 2025 yang berlangsung di Kota Kinabalu hari ini, Anwar turut menegaskan bahawa kebajikan golongan tersebut sentiasa menjadi keutamaan Kerajaan Madani.
“HPPNK amat dekat di hati saya. Lebih empat dekad lalu, saya pernah diberi amanah sebagai Menteri Pertanian dari 1984 hingga 1986. Pengalaman itu membentuk kefahaman mendalam tentang jerih perih serta ketabahan mereka,” katanya menerusi laman sosial hari ini.
Menurut beliau, sinergi kukuh antara Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri dan agensi berkaitan amat diperlukan untuk memajukan sektor pertanian moden dan ekonomi biru demi kelestarian alam sekitar serta kesejahteraan rakyat.
“Melalui pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13), kerajaan akan terus memacu produktiviti dan daya saing sektor agromakanan agar menjadi pemangkin pembangunan luar bandar dan menjamin masa depan generasi akan datang,” ujarnya.
Anwar berkata, Kerajaan Madani komited untuk melaksanakan dasar, program dan bantuan pertanian secara menyeluruh dan berkesan, sekali gus menyantuni peladang, penternak dan nelayan bukan sekadar sebagai penyumbang ekonomi, malah sebagai nadi kekuatan negara sejak lima dekad lalu.
HPPNK 2025 turut mencatat sejarah apabila meraikan ulang tahun ke-50 penganjuran acara berprestij itu yang menghimpunkan penggiat utama sektor pertanian dari seluruh negara. – KOSMO! ONLINE