fbpx
Antara peserta acara berkenaan yang mendapatkan rawatan akibat disengat ubur-ubur di Pantai Teluk Senangin di Segari dekat Lumut semalam. - Foto APM

Hanya tangan Raja Azlan kena sengat ubur-ubur, tidak serius

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

LUMUT – Penganjur Teluk Senangin Open Water Swim 2025 menafikan Raja Kecil Besar, Raja Azlan Muzzaffar Shah mengalami kecederaan berat akibat disengat ubur-ubur ketika acara tersebut berlangsung di pantai peranginan itu semalam.

Sekretariat Teluk Senangin Open Water Swim 2025 dalam kenyataannya berkata, tiada sebarang kecederaan berat mahupun serius telah berlaku ke atas putera Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah tersebut.

“Keadaan baginda adalah dalam keadaan baik dan sihat sepanjang penglibatan dalam acara berprestij tersebut meskipun ada kecederaan yang sangat ringan pada tangan baginda iaitu terkena sengatan ubur-ubur.

“Sultan Nazrin dan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim berkenan berangkat mencemar duli ke Teluk Senangin untuk memberi sokongan kepada anakanda baginda serta seluruh peserta pertandingan,” katanya di sini hari ini.

Katanya, keberangkatan tiba baginda berdua telah menyemarakkan lagi suasana acara, dan baginda berdua turut berkenan beramah mesra bersama rakyat jelata, para peserta, ibu bapa, pengunjung serta pihak penganjur.

Sekretariat itu berkata, keprihatinan dan kemesraan Tuanku berdua jelas menyerlah dan telah memberi suntikan semangat serta penghargaan besar kepada semua yang hadir.

“Sebarang dakwaan yang menyatakan berlaku kecederaan berat atau perkara yang boleh mencemarkan nama baik institusi diraja adalah tidak berasas sama sekali dan dianggap sebagai cubaan untuk mencetuskan kekeliruan serta mencemarkan keharmonian acara,” katanya.

Media semalam melaporkan kira-kira 30 peserta acara tersebut disengat ubur-ubur ketika sedang berenang di pantai berkenaan, namun mereka tidak mengalami kecederaan serius.

Sekretariat itu berkata, berdasarkan semakan data kesihatan oleh pasukan perubatan di lokasi, jumlah peserta yang mengalami sentuhan ringan daripada ubur-ubur adalah sangat kecil dan terkawal.

“Kebanyakan daripada mereka hanya mengalami reaksi alahan kulit yang biasa dan sementara, seperti kegatalan kemerahan atau rasa pedih pada bahagian kulit yang terdedah.

“Semua peserta yang terlibat menerima rawatan serta-merta di khemah rawatan disediakan. Hanya lima peserta telah dirujuk ke Hospital Seri Manjung bagi pemerhatian lanjut,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI