TANAH MERAH – Seorang kanak-kanak perempuan maut selepas motosikal ditunggang kakaknya yang berusia 11 tahun bertembung dengan sebuah van di Jalan Tanah Merah-Pasir Mas berhampiran Kampung Bukit Merah di sini semalam.
Dalam kejadian pukul 6.30 petang itu, mangsa, Nur Irdina Aulia Zainudin, 7, yang membonceng motosikal itu meninggal dunia kira-kira dua jam kemudian ketika menerima rawatan di Hospital Tanah Merah di sini.
Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Superintendan Mohd. Haki Hasbullah berkata, siasatan awal mendapati, motosikal ditunggang kakak mangsa keluar dari simpang berhampiran sebuah kedai tayar dan memasuki laluan utama.
Menurutnya, motosikal itu kemudian bertembung dengan sebuah van jenis Perodua Rusa yang datang dari arah Tanah Merah menghala ke Pasir Mas.
“Kemalangan itu menyebabkan Nur Irdina Aulia mengalami kecederaan parah sebelum dihantar ke Hospital Tanah Merah untuk rawatan lanjut.
“Mangsa disahkan meninggal dunia pada pukul 8.30 malam semasa dirawat di hospital,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini hari ini.
Mohd. Haki memberitahu, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – KOSMO! ONLINE