KETUA jurulatih skuad renang negara, Eric Anderson mengakui perubahan pendekatan latihan secara spesifik mengikut keperluan individu menjadi kunci utama pembangunan prestasi atlet kebangsaan sejak beliau tiba di Malaysia.
Menurutnya, penekanan bukan hanya dari aspek fizikal semata-mata, tetapi juga membina kekuatan mental agar setiap perenang yakin mereka layak bersaing di pentas dunia seperti Kejohanan Akuatik Dunia di Singapura ketika ini.
“Sejak saya tiba di Malaysia, antara perubahan besar kami buat adalah memastikan latihan lebih spesifik mengikut keperluan individu. Paling penting, kehadiran jurulatih bukan untuk mengubah kebolehan, tetapi memberi keyakinan mereka layak berada di sini,” katanya.
Anderson berkata demikian ketika skuad negara masih meneruskan cabaran di Kejohanan Akuatik Dunia Singapura 2025 yang menjadi medan pendedahan penting buat perenang muda selepas saingan utama di Sukan Universiti Dunia (WUG) 2025 di Jerman.
Jurulatih itu turut memuji semangat dipamerkan atlet meskipun sebahagian mereka berdepan keletihan dan isu kesihatan.
“Andrew (Goh) kurang sihat awal minggu, manakala (Phee) Jinq En masih bergelut dengan kecederaan. Tapi kami fokus untuk pulihkan mereka secara berperingkat,” katanya.
Prestasi seperti Khiew Hoe Yean yang mencatat masa terbaik musim ini dalam acara 200 meter (m) dan Jayden Tan yang memperbaiki catatan 200m rampaian individu (200 IM) menunjukkan pendekatan baharu itu mula membuahkan hasil.
“Kalau mahu bina pasukan yang tahan tekanan, mereka perlu alami suasana sebenar. Kita tak boleh simulasi itu dalam latihan di Bukit Jalil atau Sukan SEA sahaja, sebab itu kita bawa ke Piala Dunia, Kejohanan Dunia dan WUG supaya mereka belajar dan rasa sendiri,” katanya.
Dalam pada itu, Hoe Yean mengakui masih dalam proses menyesuaikan diri selepas saingan di WUG, namun tetap berpuas hati dengan catatan dicapainya di Singapura.
“Ini catatan ketiga terbaik saya tahun ini dan lebih baik daripada Olimpik lepas. Tapi saya kena terus belajar lawan dengan perenang lebih hebat. Saya perlu buang mentaliti ragu-ragu dan sentiasa ingat saya layak bersaing dengan mereka,” ujar Hoe Yean. – KOSMO! ONLINE