PETALING JAYA – Agrobank dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) telah memeterai kerjasama strategik yang bertujuan memperkasa penternak ruminan dengan menyediakan kemudahan pembiayaan khusus serta sokongan geran padanan kerajaan sehingga 90 peratus.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Agrobank, Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin berkata, inisiatif ini bukan sekadar penyediaan pembiayaan, tetapi merupakan satu sistem sokongan menyeluruh kepada agropreneur.
“Dengan pengurangan beban modal permulaan, pembiayaan mudah akses dan sokongan
teknikal yang berterusan, kami komited untuk mentransformasikan sektor ruminan negara
menjadi industri yang moden, inklusif dan mampan,” katanya dalam kenyataan.
Beliau menerangkan, kerjasama ini merangkumi tiga program utama pembangunan industri ruminan peringkat kebangsaan iaitu Program Pengganda 30 bagi penternak lembu pedaging, Program Pengukuhan Pengeluaran Tenusu Negara bagi penternak lembu tenusu dan Program Peningkatan Ruminan Kecil bagi penternak kambing dan bebiri.
Di bawah inisiatif ini, Agrobank akan menyediakan kemudahan pembiayaan bersasar untuk perolehan ternakan, kelengkapan ladang dan pembangunan infrastruktur. DVS akan melaksanakan penyaluran bantuan geran secara imbuh balik dengan nisbah seperti 90:10, 80:20 dan 70:30 bergantung kepada program yang terlibat.
Selain itu, DVS turut melaksanakan pemantauan lapangan, latihan teknikal dan khidmat nasihat bagi memastikan keberkesanan serta kelestarian pelaksanaan program.
Inisiatif ini telah dilancarkan secara rasmi bersempena dengan sambutan Hari Peladang,
Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) 2025 yang berlangsung di Kota Kinabalu,
Sabah. -KOSMO! ONLINE