KLUANG – Seorang operator kilang maut selepas kereta Proton Satria dipandunya hilang kawalan dan terbabas sebelum melanggar sebatang pokok dalam kejadian di Kilometer 76 Jalan Johor Bahru – Ayer Hitam pagi hari ini.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kluang, Superintenden Nik Mohd Azmi Husin berkata, kejadian berlaku pada pukul 7.50 pagi itu menyebabkan mangsa, Kamaruzaman Kussin, 32, meninggal dunia di tempat kejadian.
Katanya, siasatan awal mendapati lelaki yang berasal dari Felda Pemanis Satu, Segamat ini tiada mempunyai lesen memandu selain cukai jalan kenderaan dipandunya sudah tamat tempoh pada 10 Januari lalu.
“Kejadian berlaku ketika mangsa dalam perjalanan seorang diri dari arah Simpang Renggam menghala ke Ayer Hitam.
“Sebaik sampai di lokasi, kereta dipandu mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ke bahagian kiri jalan dan melanggar sebatang pokok,”katanya melalui kenyataan hari ini.
Menurut Nik Mohd Azmi lagi, akibat daripada kejadian itu, mangsa telah mengalami kecederaan parah di bahagian kepala serta badan dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Ujarnya, mayat mangsa kemudiannya dirujuk ke Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) Kluang untuk proses bedah siasat dan kes akan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Sementara itu, Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Maznan Mohamad berkata, pihaknya terpaksa menggunakan peralatan khas untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit ditempat duduk pemandu.-KOSMO! ONLINE