MUAR – Dua penunggang basikal warga Bangladesh maut, manakala seorang lagi cedera dalam nahas membabitkan empat buah kenderaan di Parit Salam, Parit Yusof, di sini malam tadi.
Menurut Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz, pihaknya menerima laporan pada pukul 8.45 malam melibatkan tiga buah basikal dan sebuah kenderaan yang tidak dapat dikenal pasti jenisnya.
“Siasatan awal mendapati nahas berlaku ketika tiga mangsa berusia 21 tahun dalam perjalanan menuju ke Bukit Mor dalam keadaan menyongsang arus.
“Apabila tiba di lokasi kejadian, mereka dilanggar sebuah kenderaan yang tidak dikenal pasti nombor pendaftaran dan jenisnya.
“Akibat pelanggaran itu, ketiga-tiga mangsa tercampak ke kiri jalan dengan dua daripada mereka cedera di bahagian kepala dan badan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut belaiu, seorang mangsa maut di lokasi kejadian, manakala rakannya meninggal dunia ketika menerima rawatan di Zon Merah, Hospital Pakar Sultanah Fatimah. – KOSMO! ONLINE