PETALING JAYA – Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) bukan sekadar pasukan elit, tetapi kini menjadi sebuah institusi penyelamat negara yang diiktiraf dan disegani di peringkat antarabangsa.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, SMART telah menabur bakti selama tiga dekad dalam memastikan keselamatan rakyat, bukan sahaja di tanah air tercinta, tetapi juga di persada antarabangsa.
Beliau berkata, pasukan SMART juga sentiasa tampil sebagai barisan hadapan negara dalam detik paling genting.
“Dari misi menyelamat pasca gempa bumi di Turkiye dan Nepal, operasi kemanusiaan sewaktu tragedi tsunami di Aceh, hinggalah penglibatan dalam banjir besar di Selangor, Pahang dan Kelantan.
“Lebih membanggakan, SMART turut menjadi pasukan pertama di Asia Tenggara yang diiktiraf secara rasmi oleh Kumpulan Penasihat Mencari dan Menyelamat Antarabangsa (INSARAG) di bawah naungan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebagai pasukan Heavy USAR, mengukuhkan kedudukan Malaysia dalam jaringan penyelamat antarabangsa,” katanya dalam satu hantaran di Facebook di sini hari ini.

Ahmad Zahid berkata, SMART turut diberi kepercayaan oleh Rusia untuk menjadi mentor kepada pasukan mencari dan menyelamat (SAR) Rusia, RUS-03 dalam persediaan menghadapi penilaian oleh INSARAG, satu lagi pengiktirafan besar kepada kepakaran negara.
“Saya kagum dengan ketekunan, disiplin, dan adaptasi teknologi canggih yang sentiasa dipertingkatkan. SMART kini bukan sekadar pasukan elit, tetapi sebuah institusi yang diiktiraf dan disegani.
“Semoga Pasukan SMART terus maju, bersedia menghadapi apa jua cabaran masa depan, dan kekal sebagai barisan hadapan yang teguh dalam apa jua bencana,” katanya.
Beliau turut menzahirkan ucapan terima kasih, dan tahniah atas tiga dekad kecemerlangan pasukan SMART untuk rakyat dan negara. – KOSMO! ONLINE