KUALA LUMPUR – Karnival Mega 3 Dimensi 2025 (MK3D 2025) mencapai jumlah jualan belebihi RM3.5 juta setakat petang hari ketiga.
Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Datuk Rubiah Wang berkata, ia membuktikan produk-produk tempatan sangat berkualiti dan mendapat permintaan tinggi.
“Sasaran kementerian adalah untuk menduniakan produk-produk luar bandar. Alhamdulillah, sasaran jualan kita untuk program ini adalah RM6 juta dan setakat petang ini ia sudah mencecah lebih RM3.5 juta.
“Kita harap esok dan lusa lebih ramai pengunjung akan datang. Sasaran kita dua juta pengunjung dan setakat petang ini lebih 500,000 yang hadir,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini, hari ini.
Terdahulu, MK3D 2025 telah mendapat pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR): Largest Entrepreneurship Fair dan ia disampaikan kepada Rubiah.
Program lima hari MK3D 2025 berkenaan yang telah berlangsung sejak Rabu lalu merupakan antara karnival terbesar pernah dianjurkan oleh KDDW.
Ia menerima penyertaan lebih 1,000 usahawan daripada pelbagai sektor yang menawarkan produk usahawan mikro, kecil dan sederhana (PMKS). – KOSMO! ONLINE