PETALING JAYA – Seorang wanita kecewa apabila diarahkan pulang sebaik tiba untuk sesi temu duga kerja di sebuah syarikat swasta di Puchong, selepas dimaklumkan bahawa pihak syarikat hanya mencari calon lelaki bagi mengisi kekosongan jawatan.
Menerusi perkongsian wanita itu di Thread, dia memaklumkan telah menerima jemputan rasmi untuk menghadiri temu duga berkenaan selepas menghantar permohonan kepada ibu pejabat syarikat berkenaan.
“Yang suruh saya datang temu duga itu ibu pejabat syarikat itu, mereka pun dah maklumkan penyelia cawangan yang saya akan datang untuk temu duga dengan dia.
“Tapi apakan daya bila dah sampai dekat situ dan dah maklumkan, penyelia dia baru nak bagitahu nak pekerja lelaki saja,“ katanya.
Tinjauan di ruang komen mendapati rata-rata pengguna memahami kekecewaan wanita itu selain ada yang berkongsi melalui pengalaman sama.
“Bila syarikat atau majikan yang tak profesional begini semua diam. Bila pekerja atau calon tak datang mereka merentan cakan Gen Z bermasalah,” kata notyourangels.
“Sama, saya pun kena juga awal tahun hari itu. Terpaksa menganggur dua minggu,” kata Fiyfiy.
“Kelakuan tidak profesional, sengaja mengelirukan, tidak menghormati. Penyelia begini tak layak jadi penyelia,” kata nuhafrhn.
“Lain kali kalau kena begini, tolong balas dengan tegas mereka dah membuang masa awak dan awak tak hargai ketidaktelusan syarikat dalam proses pengambilan pekerja. Jangan balas lembik-lembik walaupun awak pencari kerja,” kata thetehaisdiaries.
Sehingga kini perkongsian tersebut telah mendapat 2,200 tanda suka dan lebih 200 komen. – KOSMO! ONLINE