PONTIAN – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Johor telah menahan seramai 29 warga asing dalam operasi Ops Gegar di tiga buah pusat hiburan di bandar ini pada tengah malam kelmarin.
Pengarah JIM Johor, Datuk Mohd. Rusdi Mohd. Darus berkata, dalam operasi bermula pukul 12 tengah malam itu, seramai 69 orang warga tempatan dan warga asing telah diperiksa.
Katanya, tangkapan melibatkan 17 wanita Vietnam, 11 wanita Indonesia dan seorang lelaki warganegara Indonesia berusia antara 18 hingga 40 tahun.
Menurut beliau, hasil pemeriksaan lanjut mendapati mereka menyalahgunakan Pas Lawatan Sosial dan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) dengan bekerja sebagai gadis pelayan pelanggan (GRO).
“Turut ditahan tiga lelaki warga tempatan yang merupakan pengurus dan penyelia pusat hiburan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tambah Mohd. Rusdi, mereka semua ditahan disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6 (1)(c) 1959/63 iaitu masuk dan tinggal di Malaysia tanpa pas atau permit yang sah. – KOSMO! ONLINE