KUALA TERENGGANU – Kerajaan negeri kesal dengan penglibatan segelintir rakyat tempatan yang disyaki berperanan sebagai dalang sindiket pencerobohan dan kecurian kayu gaharu di Taman Negeri Kenyir, Hulu Terengganu.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Terengganu, Datuk Razali Idris berkata, hasil risikan percaya penceroboh warga asing yang ditahan pihak berkuada baru-baru ini bertindak mengikut arahan kartel tempatan melalui komunikasi sewaktu mereka berada di dalam hutan terbabit.
“Siasatan mendapati kegiatan mereka dirancang secara teliti dan dilengkapi peralatan komunikasi canggih. Kita percaya terdapat rakyat tempatan yang menjadi pengantara dan dalang terhadap pencerobohan tersebut.
“Kerajaan negeri Terengganu amat kesal rupanya rakyat sendiri sanggup bersekongkol demi keuntungan peribadi tanpa memikirkan kesan terhadap khazanah negeri,”katanya selepas merasmikan sambutan Hari Renjer Sedunia di sini hari ini.
Razali berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan pihak berkuasa bagi menjejaki dalang dalam kalangan warga tempatan terbabit.
Beliau berkata, tindakan tegas akan diambil bagi membanteras kegiatan yang mengancam ekosistem negeri itu.- KOSMO! ONLINE