KUALA LUMPUR – Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) disifatkan sebagai pelan pembangunan menyeluruh berpaksikan aspirasi Ekonomi Madani, dengan memberi tumpuan kepada kemakmuran rakyat serta pertumbuhan ekonomi seimbang dan mampan.
Menteri Kewangan II, Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, pembentangan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menunjukkan bahawa hala tuju yang ditetapkan kerajaan adalah tepat.
Jelasnya, ini bagi membawa Malaysia ke arah sebuah negara yang bukan sahaja maju dari segi ekonomi tetapi turut menjamin kesejahteraan rakyat.
“Perdana Menteri telah membentangkan RMK13 dan Alhamdulillah, kita dapat lihat bahawa landasan yang dibentangkan itu tepat bagi mencapai aspirasi Ekonomi Madani.
“Matlamat kita bukan sekadar menjadi negara yang membangun dari segi fizikal atau ekonomi, tetapi juga memastikan rakyat turut merasai nikmat pembangunan yang dilaksanakan,” katanya pada sidang akhbar selepas pembentangan RMK13 di Dewan Rakyat, hari ini.
Menurut beliau, RMK13 memberi tumpuan kepada pelbagai aspek penting termasuk usaha melakar semula pembangunan demi meningkatkan martabat rakyat.
Katanya, pembentangan tersebut menyentuh pelbagai bidang utama yang kritikal dalam memacu pertumbuhan ekonomi secara menyeluruh dan inklusif.
“Saya percaya, sepanjang sesi perbahasan nanti, kita akan dengar lebih banyak perincian mengenai pelaksanaan dan impaknya.
“Yang penting, kita perlu faham bahawa RMK13 ini adalah pemangkin kepada aspirasi Ekonomi Madani yang menuntut dasar-dasar yang benar-benar memberi manfaat terus kepada rakyat,” ujarnya.
Tambah beliau, Malaysia sedang menuju ke arah satu aspirasi besar dan ini menuntut keberanian untuk melonjak ke hadapan dengan pendekatan baharu yang lebih progresif.
“RMK13 dirangka untuk merancakkan dan memperluas saiz ekonomi negara. Kita perlu mencari jalan bagi memastikan peluang-peluang ekonomi dapat diterjemahkan kepada peluang pekerjaan yang lebih baik kepada rakyat,” ujarnya.
Amir Hamzah turut yakin bahawa pelan jangka sederhana itu akan membuka lembaran baharu dalam agenda pembangunan negara dan perbahasan di Parlimen nanti akan memperincikan pelaksanaan strategiknya. – KOSMO! ONLINE