KUALA LUMPUR – Kerajaan menyasarkan untuk mewujudkan 700,000 peluang pekerjaan baharu dalam sektor pembuatan dan 500,000 lagi penciptaan karier dalam bidang ekonomi digital.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, bagi menggalakkan penyertaan belia, kerajaan akan memperkenal Skim Pembiayaan Perkasa Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Madani dan Dana Latihan TVET.
Malah kata Anwar, penawaran program TVET turut diperluas kepada pelajar tahfiz bagi melahirkan huffaz teknokrat Madani yang mempunyai nilai tambah kepakaran teknikal.
“Dengan pendekatan menyeluruh ini, Malaysia menyasarkan untuk berada dalam kelompok 20 terbaik dunia dalam Global Innovation Index sebagai satu penanda aras penting dalam menentukan daya saing negara di pentas global,”katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, pengukuhan dan penyelarasan antara agensi seperti Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), Kementerian Pendidikan, Kementerian Sumber Manusia, Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah dan Majlis Amanah Rakyat (Mara) akan terus dipergiat.
“Kerjasama erat antara institusi TVET dan industri akan menjadi pemangkin kepada perkongsian pengetahuan teknologi dan peningkatan kemahiran seperti yang dilaksanakan oleh KPT.
“Penawaran program TVET juga akan distrategikan semula, dengan penekanan kepada sektor HGHV dan berasaskan teknologi termaju, sejajar dengan keperluan pasaran buruh bagi menyokong keperluan industri seperti di JS-SEZ, KIGIP, KHTP,”ujarnya.-KOSMO! ONLINE