KUALA LUMPUR – Suspek lelaki yang menikam anggota polis menggunakan pisau disyaki memiliki dadah ketika pemeriksaan dijalankan ke atasnya di Pasar Pudu, di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 12.55 tengah hari itu, anggota terbabit cedera parah di bahagian perut dan dikejarkan ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz untuk rawatan lanjut.
Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad berkata, kejadian berlaku ketika mangsa bersama empat anggota polis sedang menjalankan pemeriksaan ke atas suspek.
“Mangsa telah ditikam menggunakan sebilah pisau ke arah perut mangsa sebelum melarikan diri.
“Polis berjaya menahan suspek iaitu seorang lelaki berusia 56 tahun sejurus selepas kejadian bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohamed Usuf berkata, pemeriksaan lanjut terhadap suspek, polis merampas sebilah pisau dengan anggaran saiz 21.5 sentimeter serta tiga plastik berisi serbuk dan ketulan disyaki dadah.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 307 dan 186 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja cuba membunuh menggunakan senjata serta menghalang penjawat awam menjalankan tugas.
“Suspek akan direman pada esok untuk siasatan lanjut dan orang awam yang menyaksikan kejadian digesa tampil membantu siasatan.
“Maklumat boleh disalurkan kepada Pegawai Penyiasat Kes, Asisten Superintendan Mohd. Firdaus Sharil di talian 012-338 8164,” ujarnya.
Kosmo! sebelum ini melaporkan, seorang anggota polis cedera selepas ditikam seorang lelaki semasa menjalankan pemeriksaan di Jalan Pudu, hari ini.
Ketika kejadian, anggota yang bertugas di Balai Polis Pudu itu dilaporkan sedang melakukan tugasan Rondaan Cegah Jenayah di kawasan terbabit. – KOSMO! ONLINE