YANGON – Junta Myanmar menamatkan perintah darurat negara hari ini sebagai persediaan untuk mengadakan pilihan raya umum pada Disember 2025.
Tentera mengisytiharkan darurat pada Februari 2021 selepas menggulingkan kerajaan awam pimpinan ikon demokrasi, Aung San Suu Kyi dalam tindakan yang mencetuskan perang saudara pelbagai pihak dan meragut ribuan nyawa.
Perintah itu memberikan ketua junta, Jeneral Min Aung Hlaing kuasa tertinggi ke atas badan perundangan, eksekutif dan kehakiman tetapi beliau baru-baru ini menggembar-gemburkan pilihan raya sebagai jalan keluar kepada konflik Myanmar.
Kumpulan pembangkang termasuk bekas ahli parlimen yang digulingkan dalam rampasan kuasa 2021 berjanji untuk memboikot pilihan raya itu.
“Perintah darurat dimansuhkan hari ini agar negara dapat mengadakan pilihan raya ke arah demokrasi berbilang parti. Pilihan raya umum akan diadakan dalam tempoh enam bulan,” kata jurucakap junta, Zaw Min Tun dalam mesej suara kepada wartawan.
Penganalisis-penganalisis politik meramalkan Min Aung Hlaing akan kekal sebagai presiden atau ketua angkatan tentera selepas pilihan raya tersebut sekali gus melanjutkan tempohnya sebagai pemerintah de facto Myanmar.
“Kita telah melepasi fasa pertama,” kata Min Aung Hlaing dalam ucapan di Naypyidaw yang dilaporkan oleh akhbar kerajaan, The Global New Light of Myanmar hari ini.
Junta tidak mengumumkan tarikh sebenar pilihan raya itu tetapi parti-parti politik sedang didaftarkan sementara sesi latihan mengenai mesin pengundian elektronik telah pun diadakan. – AFP