TELUK INTAN – Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) akan mengambil sampel asid deoksiribonukleik (DNA) daripada ahli keluarga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Bedamar, Wah Keng Jooi.
Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Dr Bakri Zainal Abidin berkata, langkah itu diambil bagi proses pemadanan dengan rangka manusia yang ditemukan di sebuah rumah di Jalan Sungai Nibong di sini pada 19 Julai lalu.
Katanya, ujian DNA itu akan menentukan sama ada rangka yang dijumpai di tingkat atas rumah dua tingkat tersebut sah milik anak bongsu Keng Jooi.
“Jabatan Forensik akan ambil DNA adik-beradik si mati untuk dibuat perbandingan minggu ini. Buat masa ini, tulang itu dihantar ke Jabatan Forensik namun identiti masih belum dikenal pasti,” katanya selepas meninjau lokasi kejadian hari ini.
Menurut beliau, proses mengenal pasti pemilik rangka dan tengkorak itu juga akan dijalankan melalui pemadanan rekod rawatan pergigian.
“Difahamkan, lelaki itu ada membuat rawatan gigi di Hospital Teluk Intan pada April lalu. Selain itu, bagi menyokong pengesahan identiti mangsa, pasukan forensik turut turun ke lokasi hari ini bagi mencari bukti baharu,” katanya.
Kosmo! sebelum ini melaporkan, bau busuk dari rumah pusaka milik bekas ADUN Pasir Berdamar pada 1959-1964 membongkar penemuan rangka manusia. Rangka itu disyaki milik anak bongsunya berusia 75 tahun yang tinggal seorang diri. – KOSMO! ONLINE