SHAH ALAM – Management and Science University (MSU) terus komited memperkasakan agenda Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) negara dengan melancarkan program TVET hari ini.
Presidennya, Prof. Tan Sri Dr. Mohd. Shukri Ab. Yajid berkata, pelancaran program itu menjadi platform inklusif menghubungkan pelajar, komuniti, industri dan pembuat dasar dalam ekosistem pendidikan tinggi yang holistik.
Jelas beliau, MSU melalui lima kluster TVET menawarkan pelbagai program berimpak tinggi meliputi bidang pengkhususan seperti teknologi kardiovaskular, kejuruteraan, kejururawatan dan penyelenggaran pesawat.
“Semua kluster itu melibatkan hospitaliti dan pelancongan, sains perubatan dan kesihatan, teknologi kecerdasan buatan (AI), keselamatan dan permainan siber, perniagaan dan pengurusan serta pendidikan dan sains sosial.
“MSU turut melancarkan empat program TVET yang direka khusus bagi memenuhi permintaan tinggi dalan profesional seni kulinari dan pengurusan hotel serta siber sekuriti dan pembangunan permainan,” katanya.
Terdahulu, program itu dirasmikan Timbalan Perdana Menteri yang juga Pengerusi Jawatankuasa Majlis TVET Negara, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
Kata Mohd. Shukri, inisiatif itu diharap memberi impak kepada landskap pendidikan tinggi negara termasuk melibatkan aspek kerjasama pintar antara institusi pendidikan tinggi (IPT) dan pemain utama industri terutama dalam aspek jaminan serta padanan kerja.
“Usaha komited itu menyaksikan MSU diiktiraf Malaysia’s Best University (TVET Education) oleh Malaysia Education & TVET 2023 (META 2023) dan The Employers Choice of Universities 2025,” katanya. – KOSMO! ONLINE