PETALING JAYA – Sebanyak 16 program berimpak tinggi telah diluluskan untuk manfaat masyarakat India sehingga Julai 2025, melalui Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (Mitra).
Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataannya, program-program ini memberi tumpuan kepada tiga bidang utama pembangunan masyarakat iaitu pendidikan dan latihan, kerohanian dan kebudayaan serta kesejahteraan sosial.
Katanya, langkah ini mencerminkan tekad berterusan Kerajaan Madani dalam mengangkat peranan masyarakat India sebagai rakan pembangunan negara menerusi pendekatan inklusif, progresif dan berteraskan impak menyeluruh.
“Dalam masa sama, terdapat juga beberapa permohonan yang tidak dapat diluluskan antaranya melibatkan program berkaitan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang bertindih serta berada di bawah bidang kuasa dan selenggaraan Majlis TVET Negara.
“Beberapa lagi cadangan program tidak dapat diluluskan kerana bertindih dengan inisiatif sedia ada di bawah beberapa kementerian, termasuk Kementerian Belia dan Sukan, Kementerian Kesihatan serta Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi,” menurut kenyataan itu hari ini.
Sehubungan itu, penyelarasan perlu dilakukan bagi mengelak pertindihan peranan dan penggunaan sumber.
Mengulas lanjut, Kerajaan Madani akan terus memperhalusi dan menilai pelaksanaan beberapa lagi inisiatif strategik dalam masa terdekat bagi memastikan masyarakat India terus menerima manfaat pembangunan yang adil, saksama dan mampan.
“Kerajaan teguh dengan prinsip bahawa setiap lapisan rakyat, termasuk komuniti India, berhak menikmati peluang dan kemajuan negara secara menyeluruh selaras dengan semangat Malaysia Madani,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE