fbpx
Orang ramai menyeberang jalan ketika mereka menjauhi kawasan pantai di Oahu, Hawaii semalam. - AFP

Gempa mega gegar Russia, amaran tsunami 4 meter

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MOSCOW – Gempa bumi sangat kuat bermagnitud 8.7 menggegarkan Semenanjung Kamchatka di rantau Timur Jauh Russia hari ini, mencetuskan ombak besar tsunami setinggi  4 meter (13 kaki) yang mendorong pemindahan penduduk, kata beberapa pegawai seperti laporan laman berita RT.

“Gempa bumi hari ini adalah serius dan paling kuat dalam tempoh beberapa dekad,” kata Gabenor Kamchatka, Vladimir Solodov dalam satu kenyataan di platform Telegram.

Beliau berkata,  tiada kecederaan dilaporkan berdasarkan maklumat awal tetapi sebuah tadika rosak.

Tsunami dengan ketinggian 3-4 meter (10-13 kaki) direkodkan di beberapa bahagian di Kamchatka, kata Menteri Kecemasan, Sergei Lebedev yang meminta orang ramai menjauhi pantai di semenanjung itu.

Jabatan Geologi Amerika Syarikat (USGS) berkata, gempa bumi cetek itu berlaku pada kedalaman 19.3 kilometer dan berpusat kira-kira 125 kilometer ke timur Petropavlovsk-Kamchatsky iaitu sebuah bandar berpenduduk 165,000 orang di pantai Teluk Avacha. 

Agensi Cuaca Jepun menjangkakan gelombang tsunami sehingga 3 meter akan sampai ke kawasan pantai yang luas bermula sekitar pukul 9 pagi (waktu Malaysia).

Penyiar awam negara Jepun, NHK berkata, arahan pemindahan telah dikeluarkan oleh kerajaan untuk beberapa kawasan.

Pekerja kilang dan penduduk di Hokkaido, utara Jepun berpindah ke kawasan bukit menghadap ke laut, demikian menurut rakaman saluran berita tempatan, penyiar TBS.

“Sila berpindah dengan cepat. Jika anda boleh, segera berpindah ke tempat  lebih tinggi dan jauh dari pantai,” kata seorang penyampai berita NHK.

Sistem Amaran Tsunami Amerika Syarikat juga mengeluarkan amaran ‘gelombang tsunami berbahaya’ dalam tempoh tiga jam akan datang di sepanjang beberapa buah pantai di Russia, Jepun dan Hawaii.

Amaran tsunami juga berkuat kuasa untuk wilayah pulau AS iaitu Guam dan pulau-pulau Micronesia yang lain.

Arahan pemindahan untuk bandar kecil Severo-Kurilsk, di selatan Semenanjung Kamchatka, diisytiharkan kerana ancaman tsunami, kata Gabenor Sakhalin, Valery Limarenko di Telegram.

Kamchatka dan Timur Jauh Rusia terletak dalam Lingkaran Api Pasifik, kawasan geologi aktif yang terdedah kepada gempa bumi besar dan letusan gunung berapi. – AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI