AMPANG – Dua lelaki warga asing ditahan polis selepas dipercayai memukul seorang penghantar barang menggunakan kayu dalam kejadian di Jalan Ampang Avenue, di sini, minggu lalu.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 1.40 tengah hari, 23 Julai lalu.
Menurutnya, mangsa berusia 31 tahun sedang menghantar barang secara ‘cash on delivery’ sebelum berlaku salah faham dengan suspek.
“Setibanya di lokasi, mangsa didatangi dua lelaki warga asing yang tiba-tiba memarahinya dan menuduh mangsa memakinya melalui panggilan telefon.
“Suspek kemudian menolak mangsa sehingga berlaku pergelutan sebelum leher mangsa dikepit oleh seorang suspek manakala seorang lagi memukul mangsa menggunakan kayu di bahagian belakang badan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Azam berkata, bertindak atas maklumat, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah IPD Ampang Jaya menahan kedua-dua suspek berusia 27 dan 35 tahun di Jalan Avenue 3, Ampang pada pukul 1.40 tengah hari, Isnin lalu.
“Polis turut merampas sebatang buluh berukuran 65 sentimeter yang dipercayai digunakan dalam kejadian tersebut,” katanya.
Katanya, siasatan awal mendapati insiden berpunca daripada rasa tidak puas hati suspek terhadap mangsa.
“Kedua-dua suspek direman empat hari bermula semalam hingga Jumaat ini bagi membantu siasatan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE