fbpx
OGY tidak pernah mengejar anugerah apatah lagi kemaruk memiliki gelaran atau pingat kebesaran atas sumbangan yang telah dicurahkan dalam dunia seni.

‘Bukan lagi populariti yang dikejar, biar kerja berbicara’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SUMBANGAN penggiat seni veteran, Fauziah Ahmad Daud terhadap dunia hiburan tanah air sepanjang lebih lima dekad bergiat dalam industri amat besar.

Bukan sekadar lakonan, nyanyian dan pengacaraan, anak pasangan seniwati, Allahyarham Datin Saadiah dan seniman Allahyarham Datuk Ahmad Daud itu turut membantu menggilap ramai bakat muda.

Kredibiliti figura yang mesra disapa sebagai Ogy melayakkan dirinya dipilih duduk di kerusi juri bagi acara anugerah, selain pelbagai pertandingan dan program realiti.

Kerja berbicara

Melihat hasil keringat, beliau lebih daripada layak untuk meraih pingat kebesaran, namun mengakui tidak pernah mengejar gelaran apatah lagi kemaruk memiliki penganugerahan atas keikhlasan kerja.

Fauziah percaya Allah lebih tahu masa yang tepat untuk hasil kerjaya seninya diiktiraf, sekali gus enggan menaruh sebarang harapan.

“Memang sehingga hari ini saya belum pernah ditawarkan pingat atau darjah kebesaran yang membawa gelaran Datuk, tidak mengapa kerana saya percaya Allah lebih tahu masa yang tepat.

“Biarlah hasil kerja berbicara dan sebagai individu yang pada mulanya tidak gemar seni lakon, tetapi diberi peluang mencuba dalam industri kreatif pada usia 11 tahun hingga meraih pelbagai anugerah, itu sudah cukup buat saya.

“Bagi saya, apabila orang tengok program Melodi dan teringat saya, termasuk terhadap watak saya seperti Azura dan Asmidar, itu sudah cukup. Apa lagi yang saya mahukan?” katanya selepas sidang media program pencarian bakat, Asian Pop Star (APS), baru-baru ini.

Menurutnya lagi, prinsip yang dipegang sekian lama dengan tidak mengejar populariti sehingga meninggalkan niat asal berbakti demi memartabatkan seni masih digenggam kemas.

“Saya ada prinsip, bukan populariti yang saya kejar. Sebaliknya, biar kerja berbicara dan dapat tinggalkan impak terhadap industri serta pemerhati,” ujarnya ringkas.

Wariskan ilmu

Mengenai pemilihan sebagai Pengetua APS yang menghimpunkan peserta dari seluruh Asia, katanya hala tuju pertandingan pencarian bakat rantau ini menjadi antara faktor yang mendorongnya sedia menggalas tanggungjawab diberikan.

“Sedari awal saya tidak fikirkan siapa penganjur program ini, tetapi saya lihat kepada hala tuju pertandingan yang dikelolakan dan impaknya terhadap pembangunan bakat.

“Soalnya, apa yang mahu dijual? Terlalu banyak rancangan realiti kini bersifat acuan dan berulang. Saya tidak mahu melihat pengisian serupa.

“Mahu sesuatu yang baharu, segar. Saya sendiri sudah 50 tahun dalam industri, orang pun bosan tengok saya.

“Tetapi saya ada ilmu dan pengalaman yang boleh membantu generasi baharu. Kepada siapa saya harus wariskan ilmu dan pengalaman lima dekad ini kerana anak saya tak berminat,” katanya.

Yakin terhadap misi dan visi APS, menurutnya keutamaan yang digariskan dalam menilai calon adalah melihat bakat sebagai faktor utama.

“Saya tidak peduli kalau seseorang itu ada rupa, tetapi kalau tiada kualiti, saya tidak akan berkompromi. Ini bukan sekadar pertandingan.

“Saya tegas kerana saya sendiri dibentuk guru-guru yang tegas. Biarlah orang kata saya begitu begini, saya ada tanggungjawab menaikkan program ini melalui ilmu.

“Sudah tentu tenaga pengajar juga merupakan mereka yang berpengalaman, komited dan faham erti profesionalisme,” katanya.
APS akan disiarkan secara langsung selama lima minggu bermula 29 November 2025 menerusi RTM menampilkan Isabella Soliano sebagai guru vokal dan Azmi Z Abdden koreografer.

Menerusi APS, hadiah keseluruhan bernilai RM200,000 disediakan untuk semua pemenang, malah lebih istimewa lapan finalis juga menerima biasiswa mengikut pengajian selama sebulan di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) serta dua bulan di Korea Selatan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI