JASIN – Anak sulung kepada mangsa kemalangan maut yang pernah tular sebelum ini, tidak menyangka diberikan peluang untuk melanjutkan pengajian di Kolej Komuniti Jasin selepas tragedi yang meragut nyawa ibunya, Ramadan lalu.
Remaja berkenaan, Tengku Aliff Daniel Tengku Syafarin, 19, yang menyambung pengajian dalam Program Sijil Multimedia Kreatif dan Pengiklanan berkata, dia begitu teruja dan bersyukur apabila ditawarkan tempat di kolej berkenaan.
Menurutnya, peluang tersebut amat bermakna dalam usahanya membina masa depan selepas kehilangan insan tersayang.
“Saya tidak sangka pihak kolej begitu prihatin dengan nasib saya dan memberi peluang untuk saya terus belajar.
“Walaupun agak sedih melihat pelajar lain dihantar oleh ibu bapa mereka hari ini, saya tetap kuat kerana mahu capai cita-cita dalam bidang fotografi demi keluarga,” katanya ketika ditemui pada sesi pendaftaran pelajar baharu di kolej berkenaan hari ini.
Tengku Aliff merupakan anak sulung daripada empat beradik dan kini tinggal bersama ayahnya di Jalan Datuk Nawar, Merlimau.
Kosmo! 26 Mac lalu melaporkan seorang ibu empat anak sempat mengajak suaminya pulang ke kampung halaman di Terengganu sempena Aidilfitri lebih awal daripada biasa sebelum maut dalam kemalangan di Merlimau.
Dalam kejadian pada pukul 8 pagi itu, arwah Noor Faradhillah Muhammad Yusuff, 42, yang menunggang motosikal bertembung dengan kereta sewaktu dalam perjalanan pulang menghantar anaknya ke sekolah.
Sementara itu, Pengarah KKJS, Sr. Mohamad Kelana Juwit berkata, pihaknya terpanggil untuk menawarkan tempat pengajian kepada Tengku Aliff selepas berita kemalangan itu mendapat perhatian pihak pengurusan kolej.
“Anak ini layak mengikut syarat ditetapkan dan pendaftaran melalui sistem UPUOnline juga telah diluluskan. Di sini kita juga mempunyai bantuan kewangan sebanyak RM7,200 untuk membantu pelajar yang memerlukan.
“Jadi pihak kolej terpanggil untuk membantu kerana keluarganya kini hanya bergantung kepada pendapatan bapanya sebagai buruh sawit, selain jarak kediaman yang tidak jauh dari kolej memudahkan urusan ulang alik,” katanya. – KOSMO! ONLINE